Surah Ali’ Imran, Ayat 2

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian maklukNya.

Surah Ali’ Imran, Ayat 3

Ia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Qur’an) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan ia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil.

Surah Ali’ Imran, Ayat 4

Sebelum (Al-Qur’an diturunkan), menjadi pertunjuk bagi umat manusia. Dan Ia juga yang menurunkan Al-Furqaan (yang membezakan antara yang benar dengan yang salah). Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah).

Surah Ali’ Imran, Ayat 5

Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepadaNya sesuatu pun yang ada di bumi dan juga yang ada di langit.

Surah Ali’ Imran, Ayat 6

Dialah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (Ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Surah Ali’ Imran, Ayat 7

Dialah yang menurunkan kepada mu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Qur’an. Sebahagian besar dari Al-Qur’an itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata ma’nanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Qur’an. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat

Surah Ali’ Imran, Ayat 8

(Mereka berdo’a dengan berkata): “Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri pertunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberianNya”.

Surah Ali’ Imran, Ayat 9

“Wahai Tuhan kami sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari Kiamat) yang tidak ada syak padanya”. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.

Surah Ali’ Imran, Ayat 10

Sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit jua pun; dan mereka itulah bahan bakaran api neraka.

Surah Ali’ Imran, Ayat 11

(Keadaan orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum Fir’aun, dan orang-orang yang terlebih dahulu dari mereka; mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha berat azabNya.

Surah Ali’ Imran, Ayat 12

Katakanlah (wahai Muhammad ) kepada orang-orang kafir itu: “Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari Kiamat) ke dalam neraka jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan”.

Surah Ali’ Imran, Ayat 13

Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan agama Allah), dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan pertolonganNya, Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang berfikiran (yang celik mata hatinya).

Surah Ali’ Imran, Ayat 14

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang dingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; hartabenda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

Surah Ali’ Imran, Ayat 15

Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan / isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredhaan dari Allah”. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya.