Surah Ar Ra’d, Ayat 1

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Alif, Laam, Miim, Raa’. Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) dan apa yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dari Tuhanmu adalah benar; tetapi kebanyakan manusia tidak (mahu) beriman.

Surah Ar Ra’d, Ayat 2

Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy dan Dia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya); tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Dia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan).

Surah Ar Ra’d, Ayat 3

Dan Dialah yang menjadikan bumi terbentang luas dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir) dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Dia jadikan padanya pasangan: Dua-dua. Dia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir.

Surah Ar Ra’d, Ayat 4

Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa dan baunya). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.

Surah Ar Ra’d, Ayat 5

Dan jika engkau merasa hairan (wahai Muhammad), maka sungguh menghairankan perkataan mereka yang kafir itu (yang mengatakan): Adakah apabila kami telah menjadi tanah betulkah kami pula akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baru? Mereka itulah orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan mereka dan merekalah yang dibelenggu dengan belenggu-belenggu pada leher mereka dan merekalah juga ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya

Surah Ar Ra’d, Ayat 6

Dan mereka meminta kepadamu menyegerakan kedatangan perkara buruk (azab yang dijanjikan) sebelum mereka memohon kebaikan; padahal sesungguhnya telah berlaku sebelum mereka peristiwa-peristiwa azab yang telah menimpa orang-orang yang kafir seperti mereka dan (ingatlah) sesungguhnya Tuhanmu amat melimpah keampunanNya bagi manusia (yang bertaubat) terhadap kezaliman mereka dan sesungguhnya Tuhanmu juga amatlah keras balasan azabNya (terhadap golongan yang tetap ingkar).

Surah Ar Ra’d, Ayat 7

Dan berkatalah orang-orang yang kafir: Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) sesuatu mukjizat dari Tuhannya? Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah seorang Rasul pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dan tiap-tiap umat (yang telah lalu) ada Nabinya yang memimpin ke jalan yang benar.

Surah Ar Ra’d, Ayat 8

Allah mengetahui akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu dan mengetahui apa yang kurang dari yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisiNya dengan kadar yang tertentu.

Surah Ar Ra’d, Ayat 9

Dialah yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata; Dialah jua Yang Maha Besar, lagi Maha Tinggi (yang Mengatasi segala-galanya).

Surah Ar Ra’d, Ayat 10

Sama sahaja kepadaNya: Sesiapa di antara kamu yang merahsiakan kata-katanya dalam hati dan yang menyatakannya; juga yang bersembunyi pada waktu malam dan yang keluar berjalan pada waktu siang.

Surah Ar Ra’d, Ayat 11

Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.

Surah Ar Ra’d, Ayat 12

Dialah yang memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan) dan Dia yang menjadikan awan tebal yang berat (dengan air).

Surah Ar Ra’d, Ayat 13

Dan Dialah juga yang guruh dan malaikat bertasbih memujiNya, kerana takut kepadaNya. Dan Dialah juga yang menghantarkan petir, lalu Dia mengenakan dengan panahannya kepada sesiapa yang dikehendakinya dan mereka yang ingkar itu membantah (serta mendustakan Rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan Allah (dan kuat kuasaNya), padahal Dia amat keras azab seksaNya.

Surah Ar Ra’d, Ayat 14

Kuasa menerima ibadat yang benar adalah tertentu bagi Allah dan benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak akan dapat menyahut atau memberikan sesuatupun kepada mereka, hanyalah seperti orang yang membentangkan kedua tapak tangannya kepada air supaya sampai ke mulutnya, padahal air itu sudah tentu tidak akan sampai kepadanya dan tiadalah ibadat dan doa permohonan orang-orang kafir itu melainkan dalam kesesatan.

Surah Ar Ra’d, Ayat 15

Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, samada dengan sukarela atau dengan terpaksa dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang.