Surah Az Zukruf, Ayat 16

Patutkah tuhan mengambil dari makhluk-makhluk yang diciptakanNya menjadi anak-anak perempuannya dan Dia mengutamakan kamu dengan anak-anak lelaki?

Surah Az Zukruf, Ayat 17

Padahal apabila diberitahu kepada salah seorang dari mereka dengan (berita bahawa dia beroleh anak perempuan seperti) yang dijadikannya sekutu yang sejenis dengan Allah Yang Maha Pemurah, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati.

Surah Az Zukruf, Ayat 18

Patutkah (yang dikatakan anak Allah itu jenis perempuan) yang biasanya dididik dan dibesarkan dalam perhiasan, sedang dia semasa berbantah dan bertikam lidah tidak dapat memberikan alasan yang jelas?

Surah Az Zukruf, Ayat 19

Dan mereka pula menyifatkan malaikat yang juga menjadi hamba-hamba Allah Yang Maha Pemurah itu jenis perempuan. Adakah mereka menyaksikan kejadian malaikat itu? Akan dituliskan kata-kata mereka (yang dusta itu) dan mereka akan ditanya kelak (serta akan menerima balasannya).

Surah Az Zukruf, Ayat 20

Dan mereka berkata: Kalaulah Allah Yang Maha Pemurah menghendaki tentulah kami tidak menyembah malaikat itu. (Sebenarnya) mereka tidak mempunyai sesuatu pengetahuan pun mengenai kata-kata mereka (yang demikian), mereka hanyalah orang-orang yang berdusta!

Surah Az Zukruf, Ayat 21

Pernahkah Kami memberikan mereka sebelum Al-Quran ini sebuah Kitab (yang membenarkan dakwaan mereka), lalu mereka berpegang teguh kepada kitab itu?

Surah Az Zukruf, Ayat 22

(Tidak ada sebarang bukti bagi mereka) bahkan mereka (hanyalah) berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja.

Surah Az Zukruf, Ayat 23

Dan demikianlah halnya (orang-orang yang taklid buta); Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) kepada (penduduk) sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran, melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja.

Surah Az Zukruf, Ayat 24

Rasul itu berkata: Adakah (kamu akan menurut juga mereka) walaupun aku membawa kepada kamu agama yang lebih jelas hidayat petunjuknya daripada jalan agama yang kamu dapati datuk nenek kamu menurutnya? Mereka menjawab: Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya.

Surah Az Zukruf, Ayat 25

Lalu kami balas keingkaran mereka dengan azab yang membinasakan; maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.

Surah Az Zukruf, Ayat 26

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya: Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sembah;

Surah Az Zukruf, Ayat 27

Yang lain dari Tuhan yang menciptakan daku, kerana sesungguhnya Dia tetap memberi hidayat petunjuk kepadaku.

Surah Az Zukruf, Ayat 28

Dan Nabi Ibrahim menjadikan kalimah tauhid itu tetap kekal pada keturunannya, supaya mereka kembali (kepada tauhid itu, jika ada yang menyeleweng kepada syirik).

Surah Az Zukruf, Ayat 29

(Kebanyakan mereka tidak kembali kepada tauhid dan Aku pula tidak segerakan azab mereka) bahkan Aku memberikan mereka dan datuk nenek mereka menikmati kesenangan hidup, sehingga datanglah kepada mereka kebenaran (Al-Quran) dan seorang Rasul yang menerangkan tauhid.

Surah Az Zukruf, Ayat 30

Dan ketika kebenaran (Al-Quran) itu disampaikan kepada mereka, berkatalah mereka: Sesungguhnya ini adalah sihir dan sesungguhnya kami tetap mengingkarinya.