Surah Nuh, Ayat 1

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, (dengan berfirman kepadanya): Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi sakitnya.

Surah Nuh, Ayat 2

Dia pun (menyeru mereka dengan) berkata: Wahai kaumku! Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi ingatan dan amaran yang nyata;

Surah Nuh, Ayat 3

Iaitu sembahlah kamu akan Allah dan bertakwalah kepadaNya, serta taatlah kamu kepadaku;

Surah Nuh, Ayat 4

Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah beribadat dan bertakwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman).

Surah Nuh, Ayat 5

(Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);

Surah Nuh, Ayat 6

Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran).

Surah Nuh, Ayat 7

Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.

Surah Nuh, Ayat 9

Selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.

Surah Nuh, Ayat 10

Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.

Surah Nuh, Ayat 11

(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

Surah Nuh, Ayat 12

Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

Surah Nuh, Ayat 13

Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya).

Surah Nuh, Ayat 14

Padahal sesungguhnya Dia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat?

Surah Nuh, Ayat 15

Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat,