Surah Al Insan, Ayat 1

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang dia (masih belum wujud lagi dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut, (maka mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat)?

Surah Al Insan, Ayat 2

Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.

Surah Al Insan, Ayat 3

(Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) samada dia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun dia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).

Surah Al Insan, Ayat 4

(Dalam pada itu), sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi sesiapa yang berlaku kufur (atau menderhaka): Beberapa rantai dan belenggu serta Neraka yang menjulang-julang.

Surah Al Insan, Ayat 5

Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan kebajikan), akan meminum dari piala: Sejenis minuman yang bercampur dengan “Kafur”.

Surah Al Insan, Ayat 6

Iaitu sebuah mata air (di Syurga), yang diminum daripadanya oleh hamba-hamba Allah (yang taat); mereka boleh mengalirkannya (di tempat-tempat tinggal mereka) dengan aliran yang semudah-mudahnya dan menurut kemahuannya.

Surah Al Insan, Ayat 7

(Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini.

Surah Al Insan, Ayat 8

Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan,

Surah Al Insan, Ayat 9

(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih,

Surah Al Insan, Ayat 10

Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Dia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: Masam berkerut-kerut.

Surah Al Insan, Ayat 11

Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka) dan perasaan ria gembira (di hati).

Surah Al Insan, Ayat 12

Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan dari) sutera.

Surah Al Insan, Ayat 13

Mereka berehat di dalam Syurga dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk;

Surah Al Insan, Ayat 14

Sedang naungan pohon-pohon Syurga itu dekat kepada mereka dan buah-buahannya pula dimudahkan (untuk mereka memetiknya) dengan semudah-mudahnya.

Surah Al Insan, Ayat 15

Dan (selain itu) diedarkan kepada mereka (oleh pelayan-pelayannya): Bejana dari perak dan piala-piala minuman yang keadaannya laksana kaca (nampak jelas isinya).